Menjadi tanggungjawab setiap pelajar untuk belajar sepanjang masa, sekiranya ingin mendapatkan kejayaan. Kebolehan sepanjang persekolahan diuji di dalam peperiksaan. Oleh itu, hadapilah peperiksaan dengan persediaan yang rapi supaya kejayaan yang diraih dapat mengukur usaha anda selama ini.
JENIS-JENIS PERSEDIAAN
1. Persediaan Akademik
2. Persediaan Mental
3. Memulakan Peperiksaan
4. Menjawab Soalan
PERSEDIAAN AKADEMIK
Persediaan Akademik terbahagi kepada 3 peringkat yang penting iaitu :
Persediaan Peringkat Awal
Iaitut persediaan disepanjang waktu persekolahan. Ini termasuklah tumpuan semasa di dalam kelas, melengkapkan nota-nota, membaca semua mata pelajaran dan membuat nota. Fahamkan apa yang dipelajari dan rujuk kepada guru jika ada masalah.
Persediaan Peringkat Pertengahan
Iaitu kira-kira 2 bulan sebelum peperiksaan. Elok sekiranya pelajar membaca balik semua nota ringkas dan cuba ringkaskan nota kepada fakta-fakta yang penting sahaja. Buatlah kata-kata kunci untuk setiap nota. Untuk memastikan pelajar mengingati apa yang telah dipelajari, tuliskan kembali apa yang diingati. Pastikan pelajar faham setiap mata pelajaran. Untuk menguatkan ingatan, cuba berbincang dengan kawan-kawan. Buat latihan untuk soalan-soalan lepas bagi membiasakan diri dengan format soalan peperiksaan.
Persediaan Akhir
Iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anada dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.
PERSEDIAAN MENTAL
Malam Peperiksaan
- Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
- Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, kad pengenalan dan lain-lain. Letakkan ditempat yang senang diambil dan mudah diingati.
- Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.
- Jangan lupa ambil sarapan pagi
- Datang awal ke tempat peperiksaan iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan. Ini bertujuan memberi ketenangan kepada anda.
- Sebaik-baiknya jangan berbincang lagi tentang pelajaran dengan rakan-rakan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Perbincangan seperti ini boleh merungsingkan fikiran anda.
- Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang.
- Masuklah ke dewan peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
- Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.
MEMULAKAN PEPERIKSAAN
- Dengar arahan pengawas peperiksaan.
- Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
- Lihat semua soalan.
- Tandakan semua soalan yang hendak dijawab (untuk soalan esei).
- Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
- Mulakan soalan esei dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.
MENJAWAB SOALAN
- Bahagikan masa untuk setiap soalan. Contohnya Pengajian Perniagaan Kerta 1 (bilangan soalan yang perlu dijawab ialah 4, masa diperuntukkan 3 jam). Oleh itu masa menjawab 1 soalan ialah 45 minit.
- Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan kata tugas dan kata kunci dalam soalan
- Lihat semua pilihan jawapan. Tandakan untuk soalan pilihan anda.
- Pastikan jawapan mematuhi kehendak soalan.
- Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan.
- Jika ingin mengubah jawapan, potong dan tulis kembali jawapan yang tepat
| |
Huraikan | Penerangan terperinci dan jelas |
Bincangkan | Bincangkan secara terperinci dari semua sudut |
Ertikan | Maksud yang jelas tentang sesuatu istilah |
Namakan | Tulis nama-nama tertentu atau label |
Bandingkan | Faktor yang sama dan tidak sama |
Bezakan | Bezakan dalam demensi yang sama |
Jelaskan | Terangkan supaya mudah difahami |
Definisikan | Takrif tentang sesuatu fakta atau konsep dengan padat dan lengkap. |
Berdasarkan gambarajah | Penerangan terperinci dan disertakan gambarajah yang bersesuaian |
Analisiskan | Idea utama, pertalian dan anggapan serta kepentingan |
Pengiraan | Formula, jalan kerja dan hasil akhir |
- Mulai menjawab dengan tenang
- Jawab semua soalan yang ditetapkan.
- Panjang jawapan adalah berdasarkan isi dan masa yang ditetapkan. Jawapan tidak dinilaikan berdasarkan panjang atau pendek esei tersebut tetapi isi dan hujah yang bernas.
- Jawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Setiap soalan mestilah seimbang.
- Selalu merujuk kepada soalan ketika menjawab supaya jawapan anda tidak menyimpang dari tajuk.
- Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
- Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.
- Tulisan yang jelas membantu menaikkan 'impression' markah.
Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting di dalam menghadapi peperiksaan. Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu ukur di atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyiksa dan membebankan. Bertawakkalah kepada Allah, InsyaAllah anda pasti berjaya. My beloved UKM (A) students wishing you all the best.
0 comments:
Post a Comment