FOMCA


FOMCA adalah sebuah pertubuhan sukarela, tidak mementingkan keuntungan, bukan politik dan pertubuhan sivik. Ia menjadi payung bagi persatuan pengguna gabungannya. FOMCA bekerja rapat dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam memberikan maklumat, pendidikan dan perlindungan pengguna.

Keutamaannya bukan sahaja nilai untuk wang tetapi juga nilai untuk manusia. FOMCA berusaha untuk mempertingkatkan melalui kuasa beli pengguna, pembangunan berasaskan keperluan yang memastikan keadilan sosio-ekonomi dan alam sekitar bagi mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua Rakyat

Objektif FOMCA

FOMCA ditubuhkan dengan tujuan untuk mencapai objektif-objektif berikut:

  1. Untuk memperkuatkan perkembangan pergerakan pengguna di Malaysia.
  2. Meneliti isu-isu dan masalah pengguna dan berjuang untuk hak-hak pengguna.
  3. Untuk berjuang menerusi kuasa beli pengguna demi mendapatkan satu orientasi pembangunan yang akan menjamin keadilan sosio ekonomi dan kualiti alam sekitar yang lebih baik bagi semua.
  4. Menyelaras dan menjadi badan perunding bagi organisasi pengguna yang lain di Malaysia

Falsafah FOMCA

FOMCA bukan hanya sebuah pertubuhan pengguna, tetapi juga sebuah pertubuhan pembangunan. FOMCA inginkan mewujudkan keadaan-keadaan seperti berikut:

  1. Mewujudkan sifat berdikasi di kalangan para pengguna iaitu " - "Perlindungan Paling Berkesan ialah Perlindungan Sendiri."
  2. Mewujudkan pembangunan berorientasikan kepada menunaikan keperluan asas manusia melalui kuasa beli kita sebagai pengguna bagi mewujudkan satu kebudayaan hidup yang sesuai, bahagian dan tidak membazir.

Peranan FOMCA

Demi mencapai falsafah-falsafah di atas, FOMCA mengamalkan empat pendekatan penting iaitu:

  1. Sebuah badan yang memberi dan menyebarkan maklumat.
  2. Sebuah badan pendidik yang memberi pendidikan kepada semua pengguna.
  3. Sebuah badan bertindak yang memberi perlindungan kepada pengguna.
  4. Sebuah badan yang menyiasat, membuat kajian dan ujian untuk memperolehi maklumat yang benar
Sejarah FOMCA

Di Malaysia, persatuan pengguna telah ditubuhkan di peringkat negeri dahulu sebelum bergabung di bawah sebuah pertubuhan di peringkat nasional. Empat persatuan pengguna yang mula-mula sekali ditubuhkan ialah:

  1. Januari 1965 - Persatuan Pengguna Selangor (SCA)
  2. November 1969 - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
  3. Februari 1971 - Persatuan Pengguna Sarawak (CAS)
  4. Mac 1971 - Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (CANS)

Pada bulan Aprl 1971, satu mesyuarat telah diadakan di Cameron Highland untuk membincangkan penubuhan sebuah persatuan gabungan. CAP telah diberi tugas untuk mengadakan mesyuarat kedua di Pulau Pinang pada bulan Jun 1971 untuk membuat perancangan akhir penubuhan, tetapi gagal.

Kemudian tiga lagi persatuan pengguna negeri telah ditubuhkan, iaitu:

  1. Julai 1971 - Persatuan Pengguna Kedah (CAKE)
  2. Mac 1972 - Persatuan Pengguna Perak (PCA)
  3. May 1972 - Persatuan Pengguna Melaka (CAM)

Kemudian satu lagi perbincangan dibuat untuk menubuhkan sebuah gabungan. Semua pihak bersetuju untuk membentuk sebuah persekutuan yang longgar tanpa menghilangkan kuasa otonomi persatuan-persatuan pengguna negeri. Akhirnya lahirlah Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (atau singkatannya FOMCA) pada 10 Jun 1973 di Alor Setar, Kedah.

Selepas penubuhan FOMCA, persatuan-persatuan pengguna negeri lain yang ditubuhkan ialah:

  1. Julai 1973 - Persatuan Pengguna Johor (JCA)
  2. Ogos 1973 - Persatuan Pengguna Johor (JCA)
  3. November 1973 - Persatuan Pengguna Pahang (PAC)
  4. Jun 1976 - Persatuan Pengguna Terengganu (2PTR)
  5. Ogos 1980 - Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH)

Dalam pada itu, FOMCA turut memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa. Semenjak tahun 1987, FOMCA telah dilantik sebanyak tiga kali menduduki Lembaga Pengarah Consumers International (CI), iaitu sebuah pertubuhan pengguna antarabangsa yang mengabungkan 225 buah pertubuhan pengguna dari 119 buah negara. Pada masa ini FOMCA menganggotai Lembaga Pengarah CI untuk tempoh sehingga tahun 2003.

Sehingga kini, seramai enam orang menjadi Presiden FOMCA, iaitu:

  1. 1973 - 1974 - Allahyarham Dato' Mohamed Sopiee Sheikh Ibrahim
  2. 1974 - 1981 - Encik Tara Singh Gill
  3. 1981 - 1988 - Enck Bishan Singh Bahadur
  4. 1988 - 1991 - Encik Chua Kim Tee
  5. 1991 - 2004 - Prof. Dato' Mohd Hamdan Hj. Adnan
  6. 2004 - Kini - Datuk Marimuthu Nadason

Kempen Konsumer Kebangsaan

Pengguna perlu melihat semula gaya hidup mereka dan bersedia untuk melakukan perubahan yang besar kepada gaya hidup mereka mengikui kesesuaian keadaan yang berlaku pada masa ini.

Banyak cabaran berbentuk struktur yang berlaku di peringkat dunia yang memberikan kesan negatif kepada pengguna di Malaysia. Sebelum ini, isu global adalah berbentuk putaran, namun kini isu pengguna lebih berbentuk struktural, yang akan sentiasa wujud. Oleh itu, pengguna perlu melakukan perubahan gaya hidup bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran baru ini. Berikut adalah beberapa cabaran baru dunia, iaitu:

  1. Peningkatan harga minyak dan gas – peningkatan ini memberi kesan kepada semua sektor ekonomi, termasuk pengeluaran makanan dan pengangkutan.
  2. Peningkatan pengambilan bijirin – khususnya berlaku di negara China dan India. Pengambilan bijrin yang meningkat ini berikutan daripada bertambah ramai golongan yang berkemampuan;.
  3. Makanan kepada bahan api bio – di kalangan negara membangun dam kian meningkat juga di negara sedang membangun, banyak bahan makanan telah digunakan untuk menghasilkan bahan api bio. Oleh itu menyebabkan kurangnya pengeluaran makanan. Makanan untuk menghasilkan bahan api api lebih tinggi harganya berbanding makanan untuk kegunaan manusia.
  4. Perubahan iklim – banyak kawasan tanah yang sebelum ini mengeluarkan bahan makanan yang melimpah ruah, kini tidak lagi mengeluarkan hasil akibat daripada perubahan iklim.
  5. Masyarakat McDonaldisasi – semakin ramai golongan muda yang mengamalkan pola pemakanan cara barat dan nilai ini menyebabkan wujudnya ramai masyarakat yang bersifat materialistik, sehingga berlaku banyak pembaziran dan masalah psiko-sosial.

Ringkasnya, masa bagi harga minyak yang rendah dan makanan yang murah telah berlalu.

Harga beras telah meningkat sebanyak 141%, manakala gandum pula 120% semenjak beberapa tahun ini. Terdapat 37 buah negara yang sedang menghadapi masalah kekurangan makanan. Selain itu, lebih daripada 100 juta orang di seluruh dunia yang berada pada paras kemiskininan jika harga makanan terus meningkat. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menyatakan dengan jelas bahawa pengeluaran makanan hendaklah meningkat sebanyak 50% bagi memenuhi peningkatan kepada permintaan bahan makanan.

Bagi pengguna di Malaysia pula, kesan peningkatan ini bermaksud:

  1. Peningkatan kos hidup
  2. Kualiti hidup kian berkurangan
  3. Hutang semakin meningkat
  4. Bankrap
  5. Isu kesihatan mental
  6. Masalah jenayah semakin berleluasa

Perlunya perubahan minda di kalangan pengguna di Malaysia.
Masyarakat pengguna di Malaysia perlu memberikan reaksi yang berbeza terhadap cabaran-cabaran ini berbanding pada masa lalu. Mereka perlu melihat semula gaya hidup mereka dan bersedia untuk melakukan perubahan yang besar kepada gaya hidup mereka mengikui kesesuaian keadaan yang berlaku pada masa ini.

Bagi menghadapi cabaran baru ini, salah daripada kekangan besar ialah minda rakyat Malaysia. Lantaran rakyat Malaysia telah terbiasa dengan kehidupan yang selesa, yang disebabkan jumlah subsidi yang besar diberikan oleh kerajaan, maka mereka terus beranggapan bahawa ini merupakan hak mereka. Oleh itu mereka terus berharap, malah mendesak agar kerajaan campur tangan bagi memastikan harga barang berada pada paras rendah.

Pengguna di malaysia perlu mengambil tanggungjawab dalam menghadapi cabaran ini. Mereka perlu mengubah gaya hidup berdasarkan harga pasaran sebenar. Sekiranya harga sebenar minyak adalah RM3.00 seliter, maka pengguna perlu membuat keputusan, apakah jenis kereta yang ingin mereka beli, ke mana mereka ingin pergi, berapa kerap mereka ingin pergi. gunakan pengangkutan awam dan beberapa keputusan lain yang berasaskan kepada harga sebenar. Pembuatan keputusan yang berdasarkan kepada subsidi adalah tidak mampan pada jangka panjang.

Begitu juga dengan makanan. Apabila harga makanan di pasaran antarabangsa meningkat, walaupun apa juga alasannya, pengguna tidak boleh menjangka kerajaan akan menyerap kenaikan harga tersebut dan mengekalkan harganya pada paras yang rendah. Ini juga tidak bersifat realistik. Pengguna perlu membuat perubahan terhadap gaya hidup mereka yang mencerminkan situasi semasa.

Kerajaan sudah semesti turut mempunyai tanggungjawab untuk membantu golongan yang berhadapan dengan kesulitan hidup, melalui sistem keselamatan sosial yang menyeluruh. Bagi kebanyakan pengguna, peningkatan harga barang bermakna mereka perlu memikirkan semula gaya hidup dan keutamaan hidup mereka.

1 comments:

selamat pg..
cikgu bukan ada buat GA ke hari tu? bila nak umumkan pemenang?


Tahniah , Berjaya Masuk U 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...