PEPATAH Inggeris ada berkata: No one has ever finds life worth living – he has to make it worth living. Dalam hidup, ada kalanya kita berasa kehidupan ini terlalu sukar, begitu banyak cabaran dan ujian dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak stabil, hutang berbelit-belit keliling pinggang.
Ada ketikanya apabila terlalu banyak masalah, minda bagaikan beku dan tidak nampak jalan keluar. Bagaimanapun, bagi yang berfikiran positif, mereka sentiasa ada cara untuk mencari jalan penyelesaian. Tiba-tiba bagaikan datang ilham untuk menyelamatkan keadaan. Apabila minda diasak dengan pelbagai persoalan bagaimana mencari jalan keluar, pemikiran mula cergas mencari jalan penyelesaian.
Bagusnya jika setiap masalah itu dilihat sebagai satu cabaran yang memberi peluang meningkat keupayaan diri, menambah ilmu dan melaksanakan strategi baru yang akhirnya akan menolak seseorang itu ke tahap lebih baik. Peluang ada di mana-mana. Yang diperlukan hanya inisiatif untuk berubah.
Mula sekali, terima keadaan bahawa hidup ini penuh masalah. Apabila masalah itu diterima sebagai satu cabaran, banyak ruang pemikiran baru akan terbuka. Misalnya anda dibelenggu hutang keliling pinggang dan anda terus memikirkan bagaimana untuk mengatasinya.
Apabila difikirkan siang dan malam, ditambah dengan keinginan untuk mengubah keadaan sedia ada, akan datang cara atau peluang mengatasinya.
Ada kalangan pembaca yang bertanya bagaimana mereka boleh keluar dari kemelut hutang. Sebagai panduan, perkara pertama boleh dilakukan adalah dengan mengenal pasti ke mana aliran tunai pendapatan anda.
Cuba wujudkan satu sistem dengan mencatatkan berapa keseluruhan pendapatan diterima (termasuk pendapatan isteri atau suami) dan perbelanjaan diagihkan. Senaraikan juga berapa kad kredit yang anda miliki dan berapa jumlah bayaran bulanan yang perlu anda jelaskan.
Catatkan semua perbelanjaan anda, jumlahnya dan untuk apa. Dengan adanya buku ledger, anda dapat melihat corak perbelanjaan dan boleh dikenal pasti perbelanjaan tidak perlu. Tentukan bayaran yang menjadi keutamaan, misalnya bayaran kad kredit perlu dijelaskan setiap bulan kerana jika ditangguh bayarannya akan berganda.
Cuba rujuk semula pada penyata kad kredit dan pastikan berapa kadar faedah sebenarnya. Jika kadar faedahnya 1.5 peratus sebulan bayangkan dalam tempoh setahun anda perlu membayar 18 peratus atas baki belum dilunas!
Yang menjadi cabaran apabila anda hanya membayar kadar minimum ditetapkan bank. Sebaiknya, bayar berganda atau jika mempunyai kemampuan bayar sekali gus. Ia akan menjimatkan anda daripada dikenakan sebarang faedah atas baki belum berbayar.
Untuk keluar daripada kemelut kad kredit ini memang agak sukar. Ia umpama satu kitaran berterusan yang hanya terhenti apabila anda mempunyai sejumlah wang yang banyak dan membayar sekali gus. Tidak menghairankan jika ada yang membuat pinjaman peribadi untuk membayar kad kredit. Namun ia bukan satu langkah bijak kerana anda masih perlu berhutang untuk menjelaskan hutang.
Satu cara yang boleh anda lakukan adalah dengan menguruskan hutang-piutang anda secara sistematik. Lakukan penjimatan di mana-mana. Jika masih juga pendapatan anda tidak dapat menampung hutang anda itu, besarkan periuk pendapatan anda. Mungkin tiba masanya anda fikirkan untuk beralih kerjaya atau memulakan perniagaan yang mampu menjana pendapatan tambahan.
Banyak perkara boleh anda lakukan. Kenal pasti apakah kelebihan atau kemahiran yang anda miliki dan dari situ kembangkan. Jika bekerja makan gaji tidak mampu memberikan kehidupan selesa, kenapa tidak ceburi bidang lain yang boleh memberikan pendapatan lebih baik?
Mungkin anda boleh membuka perniagaan secara kecil-kecilan atau menjadi ejen jualan langsung, ejen insurans, hartanah atau perunding kewangan. Bidang ini hanya memerlukan modal kecil, tetapi mampu memberikan pulangan besar dengan pendapatan lima angka jika diceburi secara tekun dan bersungguh-sungguh.
Ia hanya satu pilihan dan anda boleh memilih. Mungkin anda tidak mampu mengubah permulaan kehidupan, tetapi anda boleh tentukan bagaimana untuk mengakhirinya.
Wang bukan segala-galanya, namun hampir segala-galanya memerlukan wang. Apabila anda berjaya membesarkan periuk pendapatan anda, wang bukan lagi satu isu. Yang menjadi isunya nanti bagaimana anda menguruskan wang dan membiarkan wang anda itu bekerja lebih keras untuk anda.
Pastikan keseluruhan hutang anda itu hanya satu pertiga daripada keseluruhan pendapatan. Apabila hutang berada pada tahap terkawal, anda boleh mula menabung paling minimum 10 peratus atau sebaik-baiknya 30 peratus daripada pendapatan anda. Tentukan matlamat tabungan anda itu dan jadilah pelabur bijak!
Artikel ini ditulis oleh Perundingan Kewangan, Inspired Vision Agency, Kelana Jaya, Suraiya Mohd Nor.
1 comments:
Great post thaank you
Post a Comment