Bijak merancang ketika berbelanja
Jika anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya.
Gagal Merancang
Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya".
Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan' akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.
Berbelanja Melebihi Kemampuan
Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.
Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.
Berbelanja Menggunakan Kad Kredit
Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad.
Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.
Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.
Lewat Menabung Untuk Hari Tua
Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan.
Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.
Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.
Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan
Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan.
Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.
Terlampau Memikirkan Pasal Wang
Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.
Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.
Artikel ini disediakan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC). Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan tip pelaburan bijak.
Sumber Maklumat: Fomca
minda cgzue : pengurusan kewangan yang baik menjamin kehidupan yang cemerlang. Pelajar perlulah bijak dalam menguruskan wang berbelanjalah apa yang patut jangan membebankan ibubapa.
0 comments:
Post a Comment